Wednesday, 31 May 2017

Pengalaman berniaga di bazar Ramadan

Sudah empat hari umat islam berpuasa. Masjid bertambah meriah dengan kehadiran jemaah menghidupkan ramadan. Bazar ramadan penuh sesak dibanjiri pelbagai lapisan masyarakat mencari juadah istimewa berbuka.

Tidak dapat tidak aku terimbau memori berniaga di bazar ramadan selepas tamat SPM. 

Arwah ayah yang beriya-iya mahu kami berniaga. Selain peluang menambah pendapatan keluarga,berniaga di bazar memberi aku banyak pengalaman hidup yang tidak ternilai. Bagi urusan pendaftaran gerai banyak proses yang perlu dilalui. Bermula mengambil borang di MPAJ,  mengundi lokasi gerai,  mengambil suntikan peniaga dan menghadiri kursus pengendalian makanan yang wajib.

Kami sepakat mahu menjual roti jala dan kari.  Ada kari ayam dan daging. Ayah memang terkenal membuat kari yang sedap. Aku pula sudah lama dilatih emak membuat roti jala.

Menariknya untuk menjala roti kami menggunakan acuan bermuncung tiga diperbuat dari tembaga. Walaupun pada waktu itu ramai yang menjala menggunakan acuan plastik,  ayah hanya membekalkanku acuan klasik bewarna keemasan itu. Aku pula sudah terbiasa menggunakannya,  jika ditukar pasti serba tak kena. Pada pengamatanku,  jalaan tepung lebih halus dengan muncungnya yang tirus tajam itu.

Kami dapat gerai di bahagian tengah bazar. Di sebelah kiri gerai kami Pakcik Azhar berniaga air soya dan kuih muih. Jiranku di sebelah kanan aku tidak berapa ingat. Suasana di bazar ramadan Kampung Pandan sangat meriah. Banyak gerai dan menjual aneka juadah istimewa sampai rambang mata dibuatnya. Antara gerai yang mendapat sambutan ialah gerai murtabak dan nasi kerabu ayam percik.

Proses menyiapkan jualan bermula sejak pagi. Di awal pagi aku sudah menyediakan bahan basah. Daging dan ayam dipotong kecil. Santan diperah. Kentang didadu dan rempah ditumis siap. Ayah akan pulang waktu rehat tengahari dan menyiapkan dua jenis kuah kari. Ayah memang tidak kedekut, kuah karinya cukup rasa. Daging dan ayam mesti ada dalam setiap bahagian kuah. Begitu pesan ayah.

Sehari aku akan menjala sehinggal dua kilo tepung.  Satu kilo menghasilkan kira-kira 60 keping. Kami buat ikut kemampuan  sementelah kami berniaga kecil-kecilan saja.

Operasi di bazar bermula selepas Asar. Ayah akan pulang awal dan menghantarku ke tapak bazar. Di dalam iswara ayah penuh dendam meja lipat, payung dan periuk berisi kari panas-panas. Selalunya aku ditemani adik lelakiku, Han.

Alhamdulillah roti jala dan kari kami mendapat sambutan. Jualan kami sentiasa habis. Paling menggembirakan kami sudah ada pelanggan tetap, hingga ada yang membeli setiap hari. Waktu itu lima keping roti jala saiz sederhana siap dengan kuah yang wajib ada lauknya hanya RM 2!

Suasana sibuk dan rasa meriah di bazar terutama di waktu puncak. Semakin petang pengunjung bertambah ramai.

Bau dan asap ayam golek mengapung di udara. Nun di hujung sana ramai berbaris menunggu giliran membeli popiah basah.

"Kak, mari kak. Cendol kak". Laung seorang abang dari gerai minuman.

"Ayam percik! Ayam percik! Panas-panas!"

"Roti jala! Roti jala!"

Aku juga ikut melaung memanggil pelanggan. Mula-mula memang terasa malu,  tetapi lama kelamaan aku sudah terbiasa.

Seronoknya ramai yang berhenti dan membeli. Roti jala bertukar tangan. Aku mengambil wang dan menyimpan di dalam beg kecil terikat di pinggang. Ayah berpesan supaya mengucapkan terima kasih dan sentiasa tersenyum kepada pelanggan.

Ah,  pengalaman begini memang tidak dapat dibeli wang ringgit. Ayah mengajarku banyak hal kehidupan dengan berniaga. Mesti rajin berdoa memohon rezeki yang murah. Ayah juga mengajar konsep tawakal kepada Allah swt. Di pasar, aku melihat kesungguhan ibubapa bekerja berniaga mencari rezeki untuk keluarga. Mereka sanggup berpenat, berpanas dan berhujan demi rezeki yang halal.

Monday, 22 May 2017

Pandan: Pelengkap juadah Ramadhan

Daun pandan sudah tidak perlu diperkenalkan. Sebut saja daun pandan sudah terbayang aroma wanginya dan hijau asli yang menaik seri hidangan. 

Mudah tumbuh dan ditanam di tanah mahupun pasu di rumah sahaja, pandan pelengkap sajian masyarakat kita. Tidak perlu penjagaan rapi, pandan cuma perlu kerap diambil daunnya supaya dapat bercambah lebih lebat.

Tidak lengkap rasanya hidangan juadah kita tanpa kehadiran daun pandan. Di dalam nasi mewangikan,  di dalam pencuci mulut membangkitkan rasa. Kuih muih tradisional banyak menggunakan daun pandan sebagai bahan utama. Tepung pelita, akok,onde onde, serimuka, aneka bubur dan pengat antara juadah yang menggunakan daun pandan.

Meskipun boleh diganti perisa dan pewarna tiruan, kesedapan juadah dengan pandan asli tidak dapat ditandingi.



Sunday, 21 May 2017

Anak Dua Pusar: Lasak dan banyak akal?

Orang tua-tua memang banyak pengalaman, maklumlah sudah lama makan asam garam kehidupan. Melalui pengalaman itu timbullah petua-petua untuk panduan dalam kehidupan seharian. Meskipun zaman berubah, petua lama masih utuh dipercayai dan diamalkan.

Tidak setakat petua. Orang lama juga kaya dengan pengalaman hasil pemerhatian. Maka selalulah kita dengar orang menyebut istilah 'kata orang-orang tua'.

Namun, tidak semua boleh dipercayai. Ada yang terbukti mitos semata-mata. Sebagai umat Islam kita harus memeriksa kesahihah fakta, dan mengetahui hukum agama sebelum menerima bulat-bulat sesuatu kepercayaan atau amalan. 

Sering kita mendengar orang berkata anak dua pusar kepala sebagai nakal dan lasak. Entah di mana logiknya,  tetapi itulah yang kerap dimomokkan orang. Apabila ternampak kepala anakku berpusar dua, orang tua-tua terus mengingatkan supaya bersiap sedia dengan karenah anakku itu. Ada yang menyebutnya membesar banyak akal, ada yang melabelnya budak lasak tidak kurang juga yang berani melabelnya budak nakal.

Sebagai ibu baru, hati tentu tersentuh apatah lagi anak masih merah. Tetapi aku selalu memujuk hati mengambil yang positif saja. Dan membiarkan kata-kata orang berlalu seperti angin.

Apabila anakku semakin membesar,  aku sedari karakter dirinya yang ekstrovert dan aktif. Dia mudah mengekspresikan emosinya.  Dia suka menyanyi dan mempunyai keyakinan diri yang baik untuk kanak-kanak seusia empat tahun.

Tetapi memanglah adat kanak-kanak yang banyak ragamnya,  anakku juga tidak terkecuali.  Kadangkala dia menghiburkan tapi ada masanya ragamnya juga menyebabkan kami naik marah. 

Satu hal yang tidak aku persetujui ialah meletakkan kesalahan kepadanya mengikut tanggapan ciri fizikal dua pusarnya itu. Apabila dia berbuat silap kita segera memarahinya. Jika terlibat dalam perbalahan anak-anak,  cepat saja kita menuding jari kepada si dua pusar tadi. Terkadang tidak sempat dia membela diri,  dan belumpun kita selidik duduk letak perkara sebenar. Kita pantas menjustifikasikan situasi dan meletaknya sebagai pesalah.

Aku melihat perkembangan ini sebagai tidak sihat untuk pembinaannya sebagai individu yang bersahsiah mulia.

Adakah berkepala dua pusar semestinya nakal? Wallahualam. 

Pernahkah kita terfikir dua pusar ini ciri fizikal, sama juga seperti lesung pipit dan tahi lalat?

Apakah amalan menilik rahsia tahi lalat tidak sama dengan menilik rahsia ciri fizikal tubuh badan yang lainnya. Kening bertangkup, begini. Mata ke dalam begitu?

Adalah amalan ini tidak sama dengan memukul rata peribadi  individu melalui zahirnya saja? Lebih sedih jika kita mengaitkan dengan mitos tahayul yang bertentangan dengan ajaran Islam. 

Generalisasi dan tanggapan terjadap ciri fizikal begini telah menanamkan stigma di dalam kepala individu di sekeliling anak tadi. Ibubapa misalnya terdorong memberi layanan tegas dan keras kepada anak ini semata-mata tidak mahunya menjadi nakal. Setiap langkah karenah anak sentiasa dibayangi dia dua pusar,  maka akalnya banyak. Dia dua pusar,  maka dia lasak. Ibu bapa secara tidak langsung telah meletakkan label kepada anaknya. Adakah adil memandang sikap indvidu berdasarkan ciri fizikalnya? Nah, tidakkah ia juga terpakai dalam situasi ini?

Ada waktunya apabila timbul rasa marah terhadap si anak,  aku mengingat diri, dia sama saja seperti anak lain. Akhlak dan adabnya dibentuk oleh aku dan suami. Sikap dan pembawaan karakternya terbentuk oleh persekitarannya membesar. 

Generalisasi dan kata orang tua-tua tidak membantu perkembangan anak-anak.  Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab kita mendidiknya menjadi anak yang baik seperti diidamkan oleh semua. Semoga kita diberikan kesabaran melayani dan mengasuh anak - anak.

 




Saturday, 20 May 2017

Kegagalan hanyalah proses.

Rasa sedih juga ketinggalan entri.  Di dalam kepala banyak idea tetapi sesampai saja di blog,  tidak lancar.

Terasa sukar hendak dihabiskan.

Hidup berjalan seperti biasa dan terpenuh dengan rutin. Suami sibuk menyiapkan konten pembentangan business model canvas untuk program CEO desa. Aku sempat menyumbang sedikit input dan membantu dalam latihan pembentangan.

Ohya, mereka mempersembahkan idea aplikasi mobile untuk percetakan dan fotokopi.

Dan semalam sesi pitching di Raub. Aku tidak ikut serta. Cukuplah menghantar dengan doa. Dari tempat acara suami mengirimkan update. Antara juri yang turut mengadili acara ialah pengarah Erma Fatima dan pegawai-pegawai kementerian terbabit.

Alhamdulillah semua berjalan lancar. Dan suami serta team gagal dalam sesi pitching itu. Sedih?

Tidaklah. Pada aku mereka pergi demi mengaut pengalaman dan boleh jadi produk yang mereka persembahkan belum cukup kuat untuk menyakinkan juri. Mungkin juga tidak bertepatan dengan kehendak program.

Setiap kita akan melalui pengalaman pertama. Dan dalam perjalanan mencari kejayaan kita akan bertemu halangan. Semua ini sangat berharga untuk kita jadikan panduan melakukan yang lebih baik.

Seperti aku,  walaupun hanya terperap di rumah melayan karenah anak-anak,  ya aku jua tidak harus berhenti belajar dan mencuba. 

Misalnya hari ini aku cuba buat biskut coklat cip ala-ala Subway. Ia sepatutnya bersaiz besar leper dan chewy. Tapi nampaknya percubaan belum menjadi dengan jayanya. Biskutku gemuk membukit dan keras pula.

InsyaAllah aku akan cuba lagi di masa depan. Setiap kesilapan peluang untuk menjadi lebih baik.

Sampai di sini dulu.  Jumpa lagi.

Tuesday, 16 May 2017

5 tip bila kereta meragam.

Baru masuk pasar,  kereta tiba-tiba jerking. Jerking ini istilah untuk kereta seperti melompat-lompat. Belumpun sempat ambil Aqil di sekolah. Dan itulah kejadian berlaku waktu puncak dan matahari betul-betul di atas kepala. 

Sedikit tip yang dapat saya kongsikan ketika mengalami kerosakan kereta. Rasanya tip mudan ini sesuai untuk rujukan setiap wanita terutama yang baru memandu kereta.

1.Cari bengkel terdekat. 

Tidak perlu pergi bengkel yang biasa kita pergi jika lokasinya jauh. Kalau kita rasa kerosakan serius, sebaiknya tidak teruskan perjalanan. Kerosakan serius seperti melibatkan enjin ada bau terbakar, asap keluar tapi tiada bau atau kereta jerking seperti yang kami alami tadi. 

Sekiranya kita paksa kereta berjalan juga,  ada risiko tersadai di tepi jalan. Bila masuk bab tersadai ini selain kena panggil mekanik ke tempat kejadian, upah tunda kereta juga tidak murah. Selain itu fikirkan juga keselamatan diri apatah lagi melibatkan anak-anak.

2. Simpan barang berharga 

Setelah sampai dibengkel,keluarkan barang berharga seperti telefon bimbit dan beg tangan. Ini bukanlah semata-mata isu tidak percaya, kita mahu mengelak timbul masalah kedua. Jadi ada baiknya kita berhati-hati.

3. Perincikan kejadian 

Tidak setakat memberitahu masalah terjadi, jika dapat kronologikan kejadian. Ini membantu mempercepat kerja mekanik memeriksa kerosakan. Seperti tadi, kami fikir masalah ini ada kaitan dengan suami menghantar cuci enjin semalam. Boleh jadi ada bahagian yang terusik. Atau sebelumnya kereta pernah masuk air, sudah lama tidak diservis dan lain-lain kemungkinan. Mekanik tentu lebih gembira membantu kita. 

4. Pendapat Kedua

Jika ada bahagian yang perlu dibaiki dan anda ragu dengan kosnya, boleh hubungi ahli keluarga atau rakan yang ada pengetahuan berkaitan. Bukan apa,  sekadar meminta pendapat kedua supaya mudah kita membuat pertimbangan.  Dan ini selalunya terpakai kepada kaum wanita yang kurang arif tentang automotif.

5. Sabar dan maklumkan

Tunggulah dengan sabar ketika kereta diperiksa. Jika perlu maklumkan mereka yang berkenaan seperti ahli keluarga atau bos yang menunggu di pejabat supaya mereka tidak tertanya-tanya.

Semoga panduan ini bermanfaat dan dapat membantu anda.

Abah, jom ikut kami bercuti! : Tip dan Panduan Bercuti dengan Warga Emas


Teks: Aminah Hafizah
Foto: Aminah Hafizah

Jarang sekali kita berpeluang  mengajak orang tua pergi bercuti sama-sama keluarga. Bukan tak mahu, tapi banyak bimbangnya. Bolehkah itu, bolehkah ini?

"Abah tu jalanpun bertongkat," hati ragu kuatkah abah nanti?

"Emak mana boleh tinggal ayam itik dia lama-lama". Alasan yang selalu kita dengar.

Sebenarnya asalkan hendaknya sahaja. Niat kita baik, mohonlah kepada Allah swt agar diberi kemudahan.

Siapa tahu dalam hati abah dah lama teringin tengok laut?

Dalam diam-diam emak kitapun sebenarnya terliur dengar cerita kawan-kawannya ikut anak bercuti di tanah tinggi.

Sudah, jangan banyak fikir. Jom, baca tip-tip membawa warga emas bercuti.

1. Pilihlah destinasi yang sesuai

Sesuaikan minat keluarga dengan orang tua kita. Berbincanglah bersama. Utama sekali pertimbangkan faktor jarak destinasi dan aktiviti di tempat bercuti.

Jika abah kita Pak Haji, fikir dua kali ya kalau hendak mengajaknya ke taman tema penuh anak muda. Urut dada dia nanti.

2. Penginapan.

Pilihlah tempat penginapan atau resort yang mesra warga tua. Selalunya jika tempat yang mesra OKU juga tempat mesra warga tua. Ada ramp untuk laluan kerusi roda. Semaklah terlebih dahulu jika tempat penginapan jauh dari kawasan parkir. Menggigil abah kita menapak nanti. Jika resort luas dan jauh untuk ke sana sini, lebih mudah jika ada kereta bungee.

3. Rancanglah aktiviti bersama.
Inilah masanya mengeratkan hubungan sesama keluarga. Ambillah kesempatan ini mendidik anak-anak menyantuni datuk dan nenek mereka. Boleh saja anjurkan permainan keluarga, berBBQ paling tidakpun santai-santai  sambil cerita kenakalan kita terbuka.
Inilah saatnya anda memanjakan orang tua sendiri. Lihatlah dia ketawa sampai tidak nampak mata!

4. Ketahui minatnya, buatkan dia rasa penting.

Survey lah destinasi percutian kita. Jadikan percutian ini untuk menghargai merek, bukan sekadar membawa jalan sebab tiada siapa yang jaga. Ambillah peluang lawat tempat bersejarah misalnya. Stesen keretapi lama, kawasan perang, tunggu sajalah mereka buka cerita.

Bukan saja anak-anak belajar perkara baru, kita juga dapat merangsang minda orang tua kita supaya sentiasa aktif.

5. Ubat-ubatnya jangan dilupa.

Cuti-cuti juga, rutin ubat-ubatan tidak ikut bercuti sekali, ya. Tanyalah mereka ubat yang dimakan setiap hari (menyuntik insulin, misalnya) ubat yang diambil bila perlu (seperti inhaller) dan buatlah senarai semak jika bimbang tercicir.
Warga emas stamina tidak seperti kita. Jika letih berjalan, berhentilah. Jika perjalanan jauh dan bimbang mereka lapar, sediakanlah snek alas perut.

6. Survey tempat makan yang mesra untuk seisi keluarga.

Orang tua ini kadangkala cerewetnya lain macam. Sentiasa ingatkan diri orang tua kita tidak kuat makan macam dulu. Sekali hadap membukit sepinggan nasi. Sekarang seleranya kecil, tetapi harus makan kerap. Perut orang tua lebih sensitif kerana ususnya tidak seaktif dulu.

"Halalkah tempat ni, Lan? Abah tengok tukang masaknya semua bukan orang kita," abah bersuara bimbang. 

"Mak kau mana makan western ni, Zam. Malam-malampun kami mesti cari nasi".

Sudah.

Sebelum terjadi drama masam muka dan anak kita protes tidak dapat makan piza, kita survey siap-siap dan tandakan tempatnya. Pilih jalan selamat yang buat semua orang kenyang.

"Di sini terkenal dengan ikan bakar. Makanan lautnya segar-segar. Malam nanti kita makan di tepi laut"

Semua orang sudah tersenyum-senyum, dapat bayangannya.

Percutian seharusnya memberikan memori indah kepada semua yang mengikutinya. Setiap ahli keluarga perlu dididik dan dilatih bersikap toleransi dan menyayangi orang tua dalam keluarganya. Bibit-bibit kasih sayang dan hormat menghormati harus disemai awal dan ditunjukkan contohnya.

Kita tentu tidak boleh lupa kenangan manis abah membawa kita adik beradik berkelah di pantai. Kita buka tingkap kereta dan nyanyi lagu beramai-ramai.

Emak kalau sebut saja pergi bercuti, sebakul penuh bekalan makanan disiapkan.

Sekarang, tip dan panduannya sudah ada. Bersediakah kita semua mencipta semula memori indah begini?

Kimchi untuk Kita

Minggu lepas,  dalam kesibukan jadual sempat juga aku menyelitkan aktiviti membuat kimchi. Kali ini berganding bahu dengan adik-adik ipar.  Memandangkan mereka peminat k-pop,  jadi aku rasa sedikit sebanyak mereka boleh dijadikan rujukan. Apatah lagi banyak rancangan Korea yang mereka tonton mesti menunjukkan serba sedikit cara pembuatan kimchi. Aku pernah sekali saja makan kimchi, di restoran Korea SweetTree di Ampang. Masa mula makan macam,  ehh pelik rasanya.

Sudah lama aku rancang, berbagai resipi aku salin tapi baru kini berpeluang. Kali ini aku memilih resipi dari blog kasihilmar.  Memandangkan resipi diolah mengikut tekak orang kita,  jadi aku berani mencubanya.

Kimchi memang diketahui mengandungi enzim dan prebiotik yang baik untuk usus dan sistem pencernaan.  Masyarakat Korea memakan kimchi sama seperti kita makan acar. Bezanya kimchi dijadikan makanan pembuka selera.

Selain dimakan dengan nasi atau bubur,  kimchi juga boleh diletakkan dalam tomyam,  masak asam (seperti sawi jeruk) dan juga hidangan berkuah lain. Yang penting harus pandai menyesuaikan dengan selera kita.

Jom kita semak cara pembuatannya.  Walaupun sedikit renyah tapi berbaloi.

Bahan-bahan:
1/2 biji Kobis napa
Garam untuk merendam kobis
1/2 biji epal dikisar dengan air
Daun bawang
2 -3 sudu serbuk cili
3 ulas bawang putih dicincang
1 biji bawang holland didadu
Sesudu air rebusan ikan bilis

Cara-cara:
1. Koyakkan kobis lapis demi lapis.  Cuci bersih. Sejatkan air berlebihan.  Rendam dalam air garam selama empat jam. 
2. Kisar epal tanpa air.
3. Campurkan bawang putih yang telah dicincang dan bawang yang didadu tadi. Masukkan epal, air rebusan ikan bilis dan serbuk cili. Gaul sebati. 
4.Potong daun bawang panjang-panjang.
5. Sejatkan air dari kobis tadi dengan memerahkannya sekering yang boleh.
6. Gaulkan bahan perapan. Rata-ratakan ke seluruh bahagian kobis. Masukkan daun bawang tadi.
7. Simpan dalam bekas selama satu hari dan keesokkan dimasukkan dalam peti ais.

Ada yang meletakkan cuka di dalam kimchi tetapi proses ini menjadikannya seperti jeruk.

Monday, 15 May 2017

Pertama kali taip entri di telefon

Hari ini si kecil demam.  Badannya agak panas dan kerap merengek minta di dukung dan sentiasa mahu menyusu. Sebenarnya dia tidak mahu ditinggalkan. Aku sudah berkali-kali cuba meninggalkannya apabila tengok dia semacam lena.  Baru setapak sudah kembali terjaga dan menangis.

Aku tengok jam sudah 1.40 petang.  Ikan masih di sinki dan sayur belum di potong. Mujur aku sempat memasak nasi tadi.  Jika suami balik untuk makan,  bolehlah aku goreng ikan atau telur saja.  Lauk pauk rumit memang tidak tercapai dek akal dan tanganku.

Aqil pula akal dan ragamnya boleh tahan. Sekejap mahu mewarna,  sekejap nanti mahu buang air, mahu main ikat plastik dan juga mahu mengusik adik. Aku layankan saja sebab jika aku marah-marah Aqil akan jadi berkasar. Ini yang aku perhatikan. Jika kita lembut, dia lebih tenang. Sebetulnya aku tahu Aqil hanya mahu perhatianku. Sejak ada adik kecil aku selalu mintanya bermain sendiri. Jika adik tidur,  aku suruhnya jangan buat bising. Jangan itu. Jangan ini. Barangkali Aqil sendiri rasa tidak bebas.

Hasil kreativiti Aqil.  Puas aku suruh dia warna dengan cantik. Dia berkeras mahu warna hitam juga. Katanya ini Upin Ipin main bunga api. Mukanya terbakar.  Kan, banyak akalnya? 

Baiklah aku rasa Anis sudah mula lena. Aku perlu segera ke dapur sebelum dia tersedar.

Dan itulah. Nasi yang aku sangka sudah naik cantik dan panas-panas rupanya masih terendam gara-gara aku lupa tekan suisnya. Alahai.. Kalut hendak menanak sambil anak melalak kiri kanan inilah hasilnya.


Nak menangis oii. Lagipula perut dah berkeroncong ni!

Bertabahlah diri.


Ibu yang Pentingkan Diri Lebih Bahagia


Teks: Aminah Hafizah
Foto: Aminah Hafizah

Kita selalu mendengar orang menyebut betapa mulianya pengorbanan ibu. Kita diceritakan kisah-kisah ibu sanggup bersusah payah demi kebahagiaan keluarganya. Barangkali sentimen ibu mestilah sentiasa bersedia berkhidmat kepada suami dan anak-anak yang begitu menebal dalam budaya masyarakat, menjadikan kita lupa bahawa ibu juga seorang insan bebas yang punya kemahuan diri. Sementara empunya diri terikat dengan komitmen dan

Seorang ibu apatah lagi seorang surirumah terhadap dengan tugasan rutinnya sepanjang hari. 24 jam, tujuh hari seminggu tanpa henti. Dialah mengurus dapur, mengatur jadual anak-anak, menyiapkan keperluan seisi keluarga bermula celik mata sehinggalah dia tertidur kepenatan di malam hari. Masa dan kudratnya difokuskan untuk menguruskan rumah tangga.

Seorang surirumah bergelar ibu juga tidak terlepas dari kemurungan dan kebosanan menghadapi jadual hariannya. Cabaran dalam rumahtangga, ragam dan karenah anak-anak, keyakinan diri yang menyusut, kesepian, tekanan hidup, menjadi asam garam hidup seorang wanita.


Mari kita semak tip dan panduan untuk ibu mementingkan dirinya (dan lebih bahagia)

1. Buang rasa bersalah menguntukkan masa untuk diri

Setiap ibu haruslah bebas menguntukkan masa untuk dirinya. Selain masa beribadah yang wajib, sentiasalah memberi ruang untuk ibu melakukan perkara yang disukainya. Boleh jadi hobi atau melakukan aktiviti kegemarannya.  Masa untuk diri bukan terhad untuk masa ibu berehat dan tidur. Masa ini adalah slot eksklusif untuk ibu merasa gembira tanpa terikat dengan rasa bersalah meninggalkan keluarga untuk menggembirakan dirinya. Seorang ibu juga harus yakin perbuatannya ini tidak mengurangkan kualitinya sebagai seorang ibu dan isteri. Sebaliknya perasaan memiliki ruang masa untuk diri menjadikan wanita lebih bertenaga, bersemangat dan berkeyakinan ntuk terus mengharungi cabaran bergelar ibu.


2. Masa untuk bersosial
Wanita saat dia menjadi seorang ibu hidupnya banyak berkisar anak-anak, suami dan pengurusan rumahtangga sahaja. Apa kata luangkan masa untuk makan tengahari bersama teman-teman baik sambil berkongsi cerita? Tentu banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman teman lain. Selain itu, surirumah juga boleh menyertai persatuan komuniti kejiranan, kelab sukan untuk mengembangkan rangkaian sosialnya. Percayalah, dengan banyak bergaul sikap dan kualiti seorang ibu akan lebih terbuka dan sentiasa mengikuti perkembangan. Masa untuk bersosial juga tidak terhad kepada pertemuan mata, dengan perkembangan dunia media sosial seorang suri tetap dapat bersosial tanpa halangan geografi. Paling penting, bijaklah mengatur masa agar semua seimbang dan terjaga.

3. Meminta Penghargaan
Terkadang kita terlalu asyik dengan dogma tanggungjawab dan amanah yang tergalas di bahu seoang wanita bergelar ibu. Memang tugas wanita melahirkan anak. Semestinya tugas ibu menjaga anak-anak. Seperti insan lain, wanita bergelar ibu juga ingin merasa peranannya dihargai oleh seisi keluarga dan ini tidak terhad kepada suami dan anak-anak bahkan keluarga sendiri dan keluarga mentua.

Nadiah, seorang surirumah sepenuh masa menyarakan wanita sepertinya supaya berani dan yakin meminta penghargaan.

"Saya misalnya tidak segan meminta hadiah daripada suami selepas kelahiran anak-anak kami. Tidak kisahlah hadiah itu mahal atau biasa-biasa, yang penting suami ingat dan berinisiatif menghargai. Kita semua tahu lelaki sering terlepas pandang hal-hal begini, jadi saya rasa sebagai isteri tidak salah mengingatkan,"


4. Berani mendukung prinsip diri 
Ini kedengaran remeh tetapi antara konflik yang sering melanda ibu terutamanya yang bergelar surirumah. Setiap ibu haruslah berani menyatakan pendapat serta kepercayaannya dan melakukan perkara yang diyakininya betul. Tidak harus timbul soal autoriti dan mempersoalkan kemampuan surirumah membuat keputusan untuk diri dan keluarganya.

"Ibu saya tidak setuju anak saya yang masih kecil diletakkan di dalam car seat. Alasannya kasihan melihat bayi saya tidak merasa dipedulikan dan dipeluk ibu. Hakikatnya saya lebih memikirkan keselamatan bayi sepanjang perjalanan di dalam kereta". Nur berkongsi pengalamannya.

Sebagai seorang wanita dan ibu, pilihan memang terletak di tangan kita untuk mengatur rutin harian dan mencorak kehidupan yang ingin kita lalui. Apa yang penting membahagiakan diri sendiri adalah tanggungjawab empunya badan. Dengan jiwa dan hati yang bahagia, barulah kita dapat memberikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada keluarga tersayang.

Ayuh ibu-ibu semua, pentingkan dirimu dan jadilah lebih bahagia.



Sayangi dirimu untuk kau bisa menyayangi semua orang. 


Festival Belia Kelantan 2017: Platform Membina Belia Berkemahiran dan berketrampilan

Teks: Aminah Hafizah
Foto: Aminah Hafizah

Baru-baru ini telah berlangsung Festival Belia Kelantan 2017 bertempat di Pusat Sivik, Gua Musang. Festival yang berlangsung bermula 11 Mei hingga 13 Mei ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Belia Kelantan dengan kerjasama Grup United Majlis Belia Kelantan (GU MBK.

Festival ini dianjurkan dengan misi memberi platform kepada para belia mengasah kemahiran dan  potensi belia Kelantan dalam pelbagai aspek.

Antara objektif penganjuran Festival Belia ini ialah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara Majlis Belia Kelantan dengan komuniti belia setempat, selain bermatlamat melatih belia dalam berorganisasi serta menguasai kemahiran generik untuk melahirkan pemimpin berketrampilan.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang tiga hari festival berlangsung. Aktiviti untuk belia merangkumi sukan ekstrem seperti motorcross, aktiviti climb tree, bakat kesenian dan kebudayaan, persembahan kebudayaan antaranya tarian naga dan banghra serta pertandingan untuk seisi keluarga.

Selain itu akiviti sepanjang festival yang dianjurkan juga berjaya menarik minat pelbagai lapisan pengunjung antaranya forum perdana, sukan rakyat, pertandingan bayi comel, pertandingan dekorasi kuih tradisional dan pertandingan mekap pengantin. Selain itu cabutan bertuah juga menanti pengunjung sepanjang festival berlangsung. 

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan barisan pimpinan Majlis Belia Kebangsaan dan Kelantan. 

Penulis sempat mengunjungi festival dan merasai kemeriahan acara-acara yang dijalankan.

Penganjuran festival belia ini dilihat sangat berjaya dan mencapai objektifnya. Pelbagai pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan dan agensi terlibat haruslah memberi sokongan berterusan supaya ia menjadi acara tahunan yang dinantikan para belia Kelantan khususnya. 

Friday, 12 May 2017

Resipi Inti Kacang Merah yang Sedap

Teks: Aminah Hafizah 
Foto: Aminah Hafizah

Sehari dua ini bolehlah dikatakan aku tengah mabuk kukusan. Walaupun sedang sibuk menulis dan mengumpul bahan untuk dijadikan entri blog dan jadual padat dengan aktiviti luar. Disebabkan ada pengukus yang baru dibeli, kerja aku hendak membuat makanan yang dikukus saja. Mungkin mood nak merasmikan periuk pengukus yang Ma belikan. Seumur hidup aku, inilah pertama kali aku memiliki periuk kukusan sendiri!

Jadi, dalam kepala ni macam-macam resipi berlegaran. Sikit-sikit aku google resipi. Antara resipi yang aku cuba buat ialah pau dan ambong. Tetapi memandang hasilnya tidaklah begitu menggembirakan, aku terpaksa redha resipi kukus mengukus tidak ada chemistry denganku lagi.

Hari itu sedang suami sibuk mengemas kelentang kelentung menyusun barangnya, aku pula sibuk mengepau di dapur. Jam dekat pukul 12 tengah malam pulak tu, gigih betul. Nanti aku kongsikan resipinya ya.

Semalam aku mabuk hendak cuba buat inti pula. Sesudah bereksperimen dengan inti kaya Yeos yang melimpah ruah dari pau (pau aku koyak!) yang aku rasa macam kurang mencabar, aku fikir nak mencuba membuat inti kacang merah.

Resipi homemade selain boleh disesuaikan ikut citarasa kita, sudah tentu dapat memastikan kebersihan dan halalan toyyiban, insyaallah. Selain tanpa pengawet dan pewarna tiruan, kuantiti gula dalam masakan dapat diawasi menjadikan, resipi homemade begini sesuai untuk yang mereka yang mementingkan kesihatan dan menjaga pemakanan. (hah, ayat rancangan Nona sungguh)

Makanya, ayuh kita semak resipi. 



Resipi Inti Kacang Merah
Hasil: Satu tupperware small topper
Sumber: Mamak Haji FB (dengan ubahsuai kuantiti)

Bahan-bahan:
450gm kacang merah
1 cawan gula pasir* (kurangkan jika mahu kurang manis)
1 sudu besar minyak masak (minyak sayuran lebih baik, sesetengah minyak masak sawit berbau kuat)
1 sudu besar tepung gandum (aku tambah sebab dah lama mengacau tak pekat-pekat)

Cara-cara:

1. Kacang merah dibasuh dan direndam semalaman.
2. Buang air dan masukkan air baru, Rebuskan semula selama 40 minit atau sejam sampai kacang lembut.
3. Sesudah agak empuk, buangkan air rebusan.
4. Isikan air baru dan rebuskan lagi selama 10 - 15 minit.
5. Toskan air dan kisarkan kacang yang sudah rebus tadi dengan air rebusan.
6.  Masukkan gula. Masak dengan api perlahan dan dikacau dengan kerap.



(AWAS: Setelah agak likat, pes kacang akan meletup-letup tanpa simpati. Kalau perlu kacau, perlahankan api atau matikan sebentar).
7. Masukkan sesudu tepung gandum. Tepung berfungsi sebagai agen pemekat pes.
8. Rasakan kemanisan dan kelikatan pes. Jika pes sudah tidak melekat pada periuk dan likat, ya inti anda sudah masak.
9. Sejukkan inti dahulu sebelum di simpan dalam bekas. Simpan di bahagian chiller boleh tahan sebulan.

Boleh digunakan sebagai inti pau, inti roti goreng, inti dorayaki, inti kuih bom atau makan dengan roti seperti sekaya pun boleh.

Selamat mencuba!

Aminah Hafizah,
Yang tidak selamat dari letupan.

Kisah Alia (Bahagian I)

Aku ada seorang teman lama, namanya Alia. Lama sudah tak berhubung. Kami bertemu di kampus. Kami satu hostel, berbeza kuliah. Alia ini sangat kontradik dengan aku. Dia pendiam dan pemalu. Jika tidak biasa dengan seseorang, dia tidak banyak berbual. Lambat panas. Tetapi apabila rapat dengannya, Alia teman yang menyenangkan. Dia prihatin, dia juga lucu.

Aku suka berkawan dengan Alia sebab dia mengajar aku untuk slow down dalam banyak hal. Duduk dengan Alia, aku jadi lebih lembut. Sementelah teman-teman aku yang lain sejenis huhahu ha dan out loud. Aku juga membantu Alia dengan subjek bahasa Inggerisnya. Dia selalu kagum dengan bahasa Inggeris aku padahal di kuliah, aku tergolong pelajar lemah. 😁
Alia minat Anuar Zain. Dia ada koleksi album Anuar Zain, ok? Apa barang download MP3? Masa itu belum ada 4share dan iTunes segala. Begitulah namanya peminat setia.
Dia juga pembaca tegar novel melayu. Melalui Alia aku kenal novelis terkenal seperti Norhayati Berahim, Anis Ayuni, Damia Hanna dan ramai lagi. Rasany aku saja yang Alia sudi pinjamkan novelnya. Sebab aku jenis pinjam tak peram. Malam ini pinjam, esok pagi sebelum pergi kelas aku sudah pulangkan. Ya, satu malam aku habiskan. Jika aku segigih ini menghadam nota kuliah pasti aku lulus ijazah kelas pertama.

Berbalik kepada Alia, satu hari selepas buka semester Alia mengetuk bilikku.
"Sibuk ke?," Dia tersenyum manis. Matanya menyeluruhi lantai bilikku yang bersepah.
"Ha. Tengah kemas nota." Aku membalas pendek.
"Jomlah, pergi bilik kita," dia masih di muka pintu.
"Ada apa?" Walaupun tidak mahu bertangguh mengemas, aku menuruti Alia.
Di bilik Alia, memang beza sungguh dengan bilik aku. Kemas tersusun walaupun ini hari pertama kami semua kembali ke kampus selepas cuti panjang.
"Awak nak dengar lagu?," dia mengambil kaset dan memasangnya. Mungkin dia baru bawa player sebab aku tak pernah nampak sebelum ini.

Ha.. Kau panggil aku sebab nak dengar lagu? Ingat nak bagi makanan ke. Tunjuk novel ke.
Begitu bisik hati. Tapi aku tidak marah. Seperti aku katakan, dengan Alia aku selalu tenang.
Dan dari radio kaset itu terputar lagu ini,
"Ada sekor anak tupa, atah jule mokte.. jale cari make... "
Aku. Pertama kali dengar lagu tu, rasa nak ketawapun ada. Tapi aku tahan. Macam-macam perasaan.
Yang aku ingat aku rasa lucu. Bersungguh-sungguh dia mahu aku mendengar lagu Halim Yazid. Tahu-tahu hampir satu album dimainkan. Sambil-sambil dia bercerita kisah-kisah dan makna di sebalik setiap lagu.
Alia, mek kelate dari Pasir Mas. Mengajar aku memaknakan banyak hal dalam kesederhanaan seorang anak pemandu lori menjejak universiti!

Ah, rindunya.

Wednesday, 10 May 2017

Alergi Sepi..(Bukan judul lagu)

Teks: Aminah Hafizah

Bismillahirahmanirrahim.

Segala puji pujian untuk Allah SWT.

Aku diserang dua perkara yang memberat. Pertamanya aku sangat rindukan emak. Selepas melalui tarikh lahir arwah ayah 1 Mei yang lalu, rindu terhadap rumah bertambah kuat. Terasa sudah lama sangat tidak balik ke kampung. Balik kampung ini istilah saja, sebetulnya aku kembali ke kotaraya kelahiranku. Dari kejauhan aku hanya mampu mendoakan kesihatan dan kesejahteraan emak.

Engkaulah sebaik-baik Pemelihara, Ya Allah.

Keduanya alergi kulitku bertambah kuat. Jika dulu menyerang seminggu sekali kini hampir setiap hari. Tahu-tahu tubuh sudah memerah dan bengkak-bengkil. Di awal serangan dulu hanya naik di kaki saja kini sudah naik ke muka, kepala dan bibir. Pernah satu malam aku terjaga sebab muka dan tubuh terasa panas sangat. Dilema sungguh. Ubat yang doktor berikan sejenis anti histamin atau ubat selesema yang juga bertindak untuk alergi. Aku sering mengantuk selepas makan ubat ini, walaupun doktor beritahu ia tidak memberi kesan kepada Anis yang aku susukan. Aku sudah membuat ujian darah tetapi keputusannya hanya diketahui sebulan lagi. Sudah puas aku mencari maklumat berkenaan alergi yang aku alami. Aku mesti mencari alergen yang mencetus alergiku ini. Ada yang panggil gegata, ada yang mengenalinya sebagai lapar garam dan ada juga yang kata puncanya diludah jin. Ah, sudah masuk bahagian mistik pula.

Ya Allah yang Maha Menyembuh, berikanlah kesembuhan untukku. Tak mahu lagi aku bergantung kepada ubat-ubatan.

Berita gembiranya, hari ini kami dapat membuat sambutan hari lahir Ma yang ke 60 tahun.  Serentak dengan majlis Ma kami meraikan hari lahir Simi adik ipar aku yang pulang bercuti.
Kami buat majlis makan-makan kecil saja. Al maklum semua dengan anak-anak kecil yang bergayut di kaki. Walaupun skil memasak aku memang sendu, suami menaruh kepercayaan aku membuat satu hidangan. Fikir punya fikir aku memilih membuat menu yang mudah - sup daging. Kami makan dengan bihun dan mee saja. Percubaan aku membuat bergedil yang sedap seperti aku bayangkan ternyata gagal. Entah di mana silapnya adunan menjadi lembik.

Adik iparku gigih menyediakan kek red velvet. Alhamdulillah walaupun pertama kali bermain dengan cream cheese frosting, kek dapat dipersembahkan dengan jayanya.Birasku Ezah menyediakan ayam madu yang sedap betul sampai ke tulang aku menikmatinya.

Untuk Ma, aku mendoakan agar Ma diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dipelihara Allah SWT. Walaupun majlis kami sederhana namun kegembiraan jelas terpancar di wajah Ma apatah lagi Ma menerima panggilan anak lelakinya yang jauh di perantauan. Adik iparku Iwe memberi khabar gembira dia beroleh biasiswa kerajaan Mesir.

Melihat senyuman terukir di bibir Ma dan abah, inilah kebahagiaan rupanya.  Aku amati wajah-wajah yang banyak berkorban ini. Entahkan sampai bila dapat kami berbakti kepada keduanya. Semoga kami diberi kesempatan berbuat kebaikan kepada orang tua kami sehingga akhir hayatnya.

Rindu kepada emakku semakin menggunung semakin aku cuba menyelesaikan catatan ini.

Dan nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?

Sampai jumpa lagi di lain kali.









Jangkitan di Mulut Bayi : Oral Thrush

Teks: Aminah Hafizah
Gambar: Google dan Aminah Hafizah

Sejak kelmarin aku perhatikan Anis seperti tidak selesa menyusu. Dia juga kerap meragam ketika makan. Walaupun makanan kesukaannya yang lembut dan sedap. Sesudu dua dia sudah merengek.

Apa yang tidak kena?

Ketika dia menangis aku ternampak tompok putih di atas lidahnya. Mungkin sisa susu yang melekat. Aku ambil kain napkin yang dibasahkan dan cuba membersihkannya. Beberapa kali mencuba, sisa susu tidak juga boleh hilang. Anis bertambah merengek kerana tidak selesa mulutnya dijolok sesuatu secara paksa.

Aku cuba mencari info, kebiasaannya berpandukan Google. Manalah tahu ada kaedah lain membersihkan sisa susu basi di lidah bayi.

Tapi aku menemui kemungkinan yang lain. Bukan sisa susu tapi sejenis jangkitan dalam mulut atau Oral Thrush. Aku belek dan teliti dalam mulut Anis. Ada di dinding pipi dan di bawah bibir juga.

Ya Allah, bagaimana aku boleh terlepas pandang? Apakah kelalaianku sehingga Anis dijangkiti kulat begini?

Setelah berbincang dengan suami, kami membawa Anis ke klinik kesihatan. Doktor bertanyakan satu dua soalan berkaitan dan memberikan panduan menjaga mulut bayi. Antaranya ialah selepas menyusukan bayi atau memberi makan, sentiasa basuh mulut bayi dan lapkan lidahnya supaya bebas dari sisa makanan. Untuk menghilangkan kulat ini, doktor juga menyarankan aku menggunakan air garam untuk membersihkan mulut Anis.

Ubat yang diberikan doktor ialah sejenis ubat sapu yang selamat ditelan - Nystatin. Caranya ubat diberi sebelumwaktu makan. Boleh guna penitis, tetapi aku selesa guna jari (pastikan bersih, ya) ubat disapukan di dalam mulut bayi dan biarkan berada di dalam mulut selama yang boleh.

Alhamdulillah setakat catitan ini ditulis, aku perhatikan mulut Anis semakin bersih dari tompok-tompok putih itu.

Sedikit pengkongsian melalui hasil bacaanku yang telah diringkaskan untuk panduan bersama; 

Apakah Oral Thrush?

Sumber Gambar : Google 

Sejenis jangkitan kulat, dapat dilihat jelas berwarna putih dan berkerat. Kulat jenis candida albicans ini menjangkiti bahagian dalam tubuh seperti lidah, bibir dan bahagian dalam pipi. Bayi berusia bawah dua tahun lebih kerap dijangkiti kerana sistem pertahanan tubuh yang masih lemah.

Tip menghindari Oral Thrush.
  • Sentiasa pastikan kebersihan oral bayi anda. Bayi yang sudah merangkak selalunya gemar mengutip benda di atas lantai dan memasukkan ke dalam mulut. Awasi bayi anda sebaiknya.
  • Berikan bayi minum air kosong selepas minum susu atau makan. Ini untuk membersihkan sisa makanan dan susu yang terlekat atau tertinggal di dalam mulut bayi.
  • Jika anda menyusu bayi, pastikan puting susu dibersihkan telebih dahulu sebelum menyusukan bayi.
  • Jika bayi anda menyusu botol, sterilkan botol susu dan juga puting susu. Gantilah puting susu dengan kerap terutama apabila ada kerak susu di puting botol. 
  • Jika anak menggunakan puting, fruit feeder, teether  sentiasa sterilkan kerana banyaknya kuman yang terdapat di persekitaran yang boleh masuk ke dalam mulut bayi anda. 
Tip membersih mulut bayi

Disebabkan Anis sudah ada beberapa batang gigi, aku gunakan alat ini untuk menggosok gigi dan gusinya supaya bebas dari sisa makanan dan kotoran. Aku beli di kedai barangan bayi, jenama Pureen dan cuma RM 6.90. Pada aku ia lebih mudah digunakan dan dibersihkan cuma bersedia dengan kemungkinan anda akan digigit. 😅



Sumber rujukan: 





Congo Bars Sedap dan Cepat Siap

Teks: Aminah Hafizah
Foto: Aminah Hafizah


Sejak ada anak kecil, aku tidak berani memilih menu masakan yang rumit. Baru pegang bawang, anak sudah menangis. Masa di dapur terbatas sebab si puteri ini jenis melekap dengan emak. Tidak boleh hilang, teriak selalu.

Jadinya kebanyakan menu hidangan kami buat masa ini temanya asalkan berkhasiat, memenuhi selera keluarga dan jimat masa. 

Adakalanya aku buntu untuk menyediakan hidangan petang. Terasa ingin makan sesuatu yang rich tapi dengan keterbatasan waktu dan kewangan, maka baiklah jika kita hasilkan sesuatu dari dapur sendiri.

Kadang kala timbul juga keinginan ingin mencuba manisan terkini yang viral di forum memasak tapi terpaksa dipendamkan. Apatah lagi bila resipi meminta asingkan telur putih dan kuning. Maaf, mak tak ada masa untuk memukul meringue, nak. Mak juga tak sanggup basuh mangkuk dan kayu pemutar yang berminyak.

Maka, kita sediakan yang mudah-mudah saja. Dan insyaAllah dijamin sedap untuk seisi keluarga. Ada banyak resipi Congo Bars, banyak juga variasinya. Di sini aku kongsikan resipi yang aku olah mengikut selera kami dengan penggunaan bahan yang lebih sihat.



Bahan-bahan:

250 gm tepung gandum
1 1/2 sudu kecil serbuk penaik
150 gm gula melaka (resipi asal 250gm gula perang). Boleh parutkan gula kabung juga. Timbang gula sesudah parut.
Telur 3 biji gred A atau B
150gm Butter 

100gm coklat cip
50gm coklat masakan jenis compound coin (Dark)

Sediakan loyang petak 10x10 yang dialas kertas pembakar.

Cara-cara:
1. Ayak tepung dan serbuk penaik dan ketepikan.
2. Pukul butter dan gula asalkan sebati sahaja. Guna spatula atau senduk kayu.
3. Masukkan tepung ke dalam adunan butter. Gaulkan sebati.
4. Masukkan coklat cip dan coklat masakan tadi. Tuang ke dalam loyang. Hentakkan manja loyang supaya adunan padat.
5. Jika suka taburkan kekacang dan coklat cip sebagai hiasan.
6. Bakar suhu 180c selama 30 minit (bergantung suhu oven masing-masing).

Sudah siap!

NOTA: Pilihan butter mempengaruhi rasa Congo Bars yang sedap. Gunalah butter tulen seperti Anchor, SCS (sekadar mencadangkan beberapa jenama). Dengan penggunaan butter, semakin lama congo bar semakin sedap dinikmati kerana rasanya sudah sebati.

Gula perang boleh diganti dengan gula kabung atau gula melaka. Cuma parutkan dan timbang mengikut kuantiti diingini. Lazimnya gula kabung kurang manis dan ia diakui lebih sihat berbanding gula perang atau gula biasa.

Resipi ini aku perolehi ketika menghadiri kelas Congo Bars dan Brownies di bawah Cikgu Nor Liyana Abdullah.

                                   
Sedia untuk dibakar.

Tuesday, 9 May 2017

Tunggu Sekejap, aku juga ingin berlari

Teks: Aminah Hafizah
Foto: Aminah Hafizah

Tunggu sekejap,
wahai kawan, 
kerana hari 
masih hujan...

Lagu ini berlegar di kepala. Beralun seperti memesankan sesuatu. Dan aku mencuba menulis entri pertama blog dengan nama sebenarku ini. 

Terima kasih kepada Puan Masayu kerana memberi ruang diri ini belajar menulis blog secara betul dan konsisten. Selama ini aku menulis secara hentam saja dan membuat entri ikut suka hati. Berpandukan tunjuk ajar Puan Masayu dan keluarga besar Akademi Bekerja Dari Rumah, insyaallah aku berjaya memiliki blog yang sebenar. 

Apakah cita-cita surirumah sepenuh masa yang tidak pandai berniaga ini? Sewaktu Puan Masayu bertanya apakah aku ada menjalankan apa-apa perniagaan, aku terkedu. Betul betul suri rumah sepenuhnya. Akulah itu. Akulah itu wanita yang bergantung sumber dengan suami. 

Apakah keinginan seorang anak kota yang sampai ke sebuah daerah asing ini? Dengan hanya berbekal cinta dan keyakinan kepadaNya aku membuat keputusan berhijrah meninggalkan tempat kelahiran, taman membesar dan lubuk mencari rezeki ke sini. Ya, menjadi suri hati seorang suami.

Apakah yang aku cari? Dalam sendiri di tempat baru berteman sahabat baik yang kini bergelar suami.

Apakah yang aku ingin jadi sepanjang menjalani usia pinjaman Allah swt kepada sebatang tubuh ini?

Semua persoalan ini bermain di fikiran, saat melihat hidup teman-teman lain yang lebih jauh ke hadapan. Lebih berjaya, lebih kaya, dan semoga mereka juga lebih bahagia. 

Aku ingin menguatkan hati agar dapat menjadi lebih berdikari dan berjaya. Biarlah lambat dan tempang langkahku, aku tidak mahu lagi berhenti. Aku mahu berjalan selagi Allah swt meminjamkan keupayaan.

InsyaAllah. Dialah yang meminjamkan kekuatan dan kepadaNya kita memohon kejayaan.
Aku tinggalkan kalian dengan gambar ini. Aku bangga menjadi sebahagian penduduk daerah ini.


Sungai Galas, Gua Musang. 


Sampai ketemu lagi.

Aminah Hafizah, 
Belajar mensyukuri.