Tuesday, 6 June 2017

Ramadan di Kampung halaman

Alhamdulillah  Allah mengizinkan aku pulang berpuasa bersama Emak  di rumahnya. Terima kasih suami kerana memberi diri ini ruang bersama insan yang paling berjasa dalam hidupku. Terima kasih memanjangkan kegembiraan.

Sudah lama berpindah tempat,  siapa yang tidak rindu kampung halaman tempat membesar? Terutama dalam suasana bulan penuh barkah ini. Terkenang memori berpuasa ketika kecil. Hidangan masakan arwah ayah dan emak untuk kami. Suasana berterawikh di surau taman perumahan yang syahdu. Terkenang ramai pakcik makcik jiran tetangga yang sudah kembali kepadaNya. Saf yang sudah berganti jemaah. Jika dulu kami masih hijau remaja,  kini sudah jadi orang dewasa tulang belakang kariah. Warga tuanya jika dulu gagah aktif bermasyarakat kini sudah ramai yang uzur dan bersolat di kerusi. Begitulah putaran masa.

Alhamdulillah dapat berkumpul adik beradik yang mana diberi kesempatan. Walaupun masih tidak cukup korum, meriahnya tetap terasa. Kami bersederhana saja dalam hidangan berbuka. Yang penting rasa seronok bersama.

Berpuasa di tempat suami dan bandar kelahiran ini banyak juga bezanya.

Semalam aku berkesempatan memandu ke pasaraya. Sebab aku uzur jadi aku mencuri ruang masa untuk membawa anak keluar setelah seharian terperap di rumah. Kami keluar ambil angin saja. Aku juga mencari roti puri. Teringin mengalahkan orang mengidam. Apakan daya di restoran kegemaran sudah tiada kawasan parkir. Semua penuh dengan kereta. Rata-ratanya anak muda berkumpul menikmati hidangan, berbual dan menonton filem di layar besar. Ya Allah mereka semua ini tidak berterawikh kah? 

Aku akhirnya menuju ke sebuah restoran lain. Suasananya masih sama. Terpenuh dengan pelanggan melayu islam dan orang muda belia belaka.

Tiba-tiba hati pilu. Alangkah ruginya kita tidak merebut ganjaran ramadhan yang Allah janjikan?  Ampunkanlah aku yang bersangka-sangka. Semoga kita semua diberi hidayah dan masih ada ruang kesempatan untuk merebut  keberkatan ibadah dalam bulan mulia ini.

Sunday, 4 June 2017

Mengatasi Anak Suka Berebut

Musim perayaan yang bakal tiba pasti dinantikan semua. Inilah peluang semua ahli keluarga berhimpun bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim. 

Bagaimana dengan anak-anak kecil kita? Sudahkah kita mempersiap kemahiran bergaul dan komunikasi sesuai usia mereka?

Ibubapa sering berdepan dengan anak yang sukar bertolak ansur dan enggan berkongsi dengan insan di sekeliling mereka. Sedangkan inilah sikap yang penting diamalkan dalam hidup berkeluarga.

Apatah lagi bila berkumpul sesama saudara mara. Kita pasti tak lupa seronoknya berkumpul dan bermain bersama saudara mara di rumah atuk. Berkongsi mainan, pinjam meminjam basikal hinggalah menikmati aiskrim bersama.

Ikuti panduan mendidik anak berkongsi.

1.Pupuk sifat berkongsi

Sifat mudah berkongsi dalam diri anak-anak harus dipupuk sejak kecil. Anak kecil mudah dibentuk, amalan kebiasaan akan menjadi tabiat baik kepada diri mereka.Jika membelikan sesuatu makanan contohnya, biasakan tanya kepada anak-anak, "Boleh beri ayah sedikit?"
Ucapkan terima kasih apabila anak sudi berkongsi sebagai tanda penghargaan. Anak yang diajar berkongsi membesar menjadi insan yang prihatin dengan insan sekelilingnya, pemurah dan tidak bersifat individualistik.

2. Anjurkan makan bersama

Sifat anak kecil yang sukar berkongsi memang memeningkan. Apatah lagi apabila berkumpul dengan sanak saudara. Perebutan mainan misalnya sering menimbulkan rasa tidak senang. Cuba amalkan berkongsi makanan. Hidangan di dalam talam misalnya dapat memupuk semangat kebersamaan dalam diri anak-anak. Selain dapat dididik berkongsi,  perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga pasti bertambah erat.

3. Usah mewahkan anak.

Tip ini dikongsikan oleh emak. Jika anak terlalu dimewahkan dengan kemewahan dan sentiasa dipenuhi kehendaknya, peribadinya terbentuk untuk sentiasa memiliki. Apabila sekali kehendaknya tidak dipenuhi, anak akan mendesak dan meragam. Adakalanya kita perlu mengajar anak melalui perasaan kecewa dan tidak mencapai kehendaknya. Jelaskan kepada anak sebabnya dengan baik. Dengan itu dia belajar menghargai apabila memiliki dan berbagi apabila melihat orang lain yang kekurangan. Ini juga melatihnya mudah berkongsi dan lebih prihatin dengan perasaan orang lain.

Semoga tip ringkas ini menjadi panduan kita dalam mendidik anak mudah berkongsi bukan saja dengan ahli keluarga malah rakan-rakan juga.

Saturday, 3 June 2017

Resipi Ayam Goreng Sweet & Spicy ala Korea

Hidangan lazim di rumah kami ialah ayam.

Ada kisah lucu sebelum berkahwin dengan suami. Memandangkan bakal berjodohan dengan orang Kelantan,  dalam fikiran aku mesti belajar masak ikan. Iyalah negeri pantai timur, kan? Satu ketika di pesta buku, aku borong beberapa jenis buku masakan.  Yang menariknya dua tiga buah koleksi masakan ikan saja. Ya, mari tambah skil dan koleksi masakan berasaskan ikan. Rupa-rupanya sangkaan ku meleset. Suami tidak suka ikan. Menu ikanpun hanya yang tertentu saja. Itupun mestilah dihidang panas-panas.

Disebabkan begitu kerapnya memakan ayam,  aku rasa sampai sudah habis resipi lauk pauk ayam dimasak. Buntu dalam memilih menu.  Balik-balik ayam kicap,  ayam gulai,  ayam lemak dan sewaktu dengannya.

Maka aku teringat menikmati lauk ayam goreng bijan yang dimasak adikku. Sedap dan kombinasinya memikat. Sesuai dimakan dengan nasi.

Aduh panjangnya nama resipi. Padahal ayam goreng bertepung ala KFC saja. Tapi bukan sebarangan ayam goreng. Resipi kali ini unik. Jika anda sudah bosan dengan hidangan ayam goreng biasa, cubalah pelbagaikan bahan perapan. Pasti memenuhi selera seisi keluarga.

Bahan-bahan:
Setengah ekor ayam
2 sudu cili kisar
Cili flakes
2 batang serai dititik
Bawang putih
Bawang kecil diricik
3 sudu Cuka
Sedikit gula melaka
2 sudu Madu
Bijan secukupnya

Bancuhan tepung.
Tepung gandum, 2 sudu tepung jagung, sedikit garam, gula dan lada sulah. Bancuhkan dengan air. Pukul sebiji telur.

Pukul telur dan salutkan ayam dengan tepung. Goreng ayam yang disalut tepung separuh masak saja.
Sejatkan minyak dan rehatkan.
Goreng ayam kali kedua supaya ayam kekal rangup.

Tumis bawang yang telah diracik, serai dan cili kisar. Goreng hingga cili pecah minyak dan garing.

Masukkan tiga sudu cuka, sedikit gula melaka, 2 sudu madu kacau sebati.

Masukkan ayam tadi dan taburkan cili flakes. Gaul sebati sehingga ayam bersalut dengan pes.

Taburkan bijan dan sedia dihidangkan.

Selamat mencuba! 

Wednesday, 31 May 2017

Pengalaman berniaga di bazar Ramadan

Sudah empat hari umat islam berpuasa. Masjid bertambah meriah dengan kehadiran jemaah menghidupkan ramadan. Bazar ramadan penuh sesak dibanjiri pelbagai lapisan masyarakat mencari juadah istimewa berbuka.

Tidak dapat tidak aku terimbau memori berniaga di bazar ramadan selepas tamat SPM. 

Arwah ayah yang beriya-iya mahu kami berniaga. Selain peluang menambah pendapatan keluarga,berniaga di bazar memberi aku banyak pengalaman hidup yang tidak ternilai. Bagi urusan pendaftaran gerai banyak proses yang perlu dilalui. Bermula mengambil borang di MPAJ,  mengundi lokasi gerai,  mengambil suntikan peniaga dan menghadiri kursus pengendalian makanan yang wajib.

Kami sepakat mahu menjual roti jala dan kari.  Ada kari ayam dan daging. Ayah memang terkenal membuat kari yang sedap. Aku pula sudah lama dilatih emak membuat roti jala.

Menariknya untuk menjala roti kami menggunakan acuan bermuncung tiga diperbuat dari tembaga. Walaupun pada waktu itu ramai yang menjala menggunakan acuan plastik,  ayah hanya membekalkanku acuan klasik bewarna keemasan itu. Aku pula sudah terbiasa menggunakannya,  jika ditukar pasti serba tak kena. Pada pengamatanku,  jalaan tepung lebih halus dengan muncungnya yang tirus tajam itu.

Kami dapat gerai di bahagian tengah bazar. Di sebelah kiri gerai kami Pakcik Azhar berniaga air soya dan kuih muih. Jiranku di sebelah kanan aku tidak berapa ingat. Suasana di bazar ramadan Kampung Pandan sangat meriah. Banyak gerai dan menjual aneka juadah istimewa sampai rambang mata dibuatnya. Antara gerai yang mendapat sambutan ialah gerai murtabak dan nasi kerabu ayam percik.

Proses menyiapkan jualan bermula sejak pagi. Di awal pagi aku sudah menyediakan bahan basah. Daging dan ayam dipotong kecil. Santan diperah. Kentang didadu dan rempah ditumis siap. Ayah akan pulang waktu rehat tengahari dan menyiapkan dua jenis kuah kari. Ayah memang tidak kedekut, kuah karinya cukup rasa. Daging dan ayam mesti ada dalam setiap bahagian kuah. Begitu pesan ayah.

Sehari aku akan menjala sehinggal dua kilo tepung.  Satu kilo menghasilkan kira-kira 60 keping. Kami buat ikut kemampuan  sementelah kami berniaga kecil-kecilan saja.

Operasi di bazar bermula selepas Asar. Ayah akan pulang awal dan menghantarku ke tapak bazar. Di dalam iswara ayah penuh dendam meja lipat, payung dan periuk berisi kari panas-panas. Selalunya aku ditemani adik lelakiku, Han.

Alhamdulillah roti jala dan kari kami mendapat sambutan. Jualan kami sentiasa habis. Paling menggembirakan kami sudah ada pelanggan tetap, hingga ada yang membeli setiap hari. Waktu itu lima keping roti jala saiz sederhana siap dengan kuah yang wajib ada lauknya hanya RM 2!

Suasana sibuk dan rasa meriah di bazar terutama di waktu puncak. Semakin petang pengunjung bertambah ramai.

Bau dan asap ayam golek mengapung di udara. Nun di hujung sana ramai berbaris menunggu giliran membeli popiah basah.

"Kak, mari kak. Cendol kak". Laung seorang abang dari gerai minuman.

"Ayam percik! Ayam percik! Panas-panas!"

"Roti jala! Roti jala!"

Aku juga ikut melaung memanggil pelanggan. Mula-mula memang terasa malu,  tetapi lama kelamaan aku sudah terbiasa.

Seronoknya ramai yang berhenti dan membeli. Roti jala bertukar tangan. Aku mengambil wang dan menyimpan di dalam beg kecil terikat di pinggang. Ayah berpesan supaya mengucapkan terima kasih dan sentiasa tersenyum kepada pelanggan.

Ah,  pengalaman begini memang tidak dapat dibeli wang ringgit. Ayah mengajarku banyak hal kehidupan dengan berniaga. Mesti rajin berdoa memohon rezeki yang murah. Ayah juga mengajar konsep tawakal kepada Allah swt. Di pasar, aku melihat kesungguhan ibubapa bekerja berniaga mencari rezeki untuk keluarga. Mereka sanggup berpenat, berpanas dan berhujan demi rezeki yang halal.

Monday, 22 May 2017

Pandan: Pelengkap juadah Ramadhan

Daun pandan sudah tidak perlu diperkenalkan. Sebut saja daun pandan sudah terbayang aroma wanginya dan hijau asli yang menaik seri hidangan. 

Mudah tumbuh dan ditanam di tanah mahupun pasu di rumah sahaja, pandan pelengkap sajian masyarakat kita. Tidak perlu penjagaan rapi, pandan cuma perlu kerap diambil daunnya supaya dapat bercambah lebih lebat.

Tidak lengkap rasanya hidangan juadah kita tanpa kehadiran daun pandan. Di dalam nasi mewangikan,  di dalam pencuci mulut membangkitkan rasa. Kuih muih tradisional banyak menggunakan daun pandan sebagai bahan utama. Tepung pelita, akok,onde onde, serimuka, aneka bubur dan pengat antara juadah yang menggunakan daun pandan.

Meskipun boleh diganti perisa dan pewarna tiruan, kesedapan juadah dengan pandan asli tidak dapat ditandingi.



Sunday, 21 May 2017

Anak Dua Pusar: Lasak dan banyak akal?

Orang tua-tua memang banyak pengalaman, maklumlah sudah lama makan asam garam kehidupan. Melalui pengalaman itu timbullah petua-petua untuk panduan dalam kehidupan seharian. Meskipun zaman berubah, petua lama masih utuh dipercayai dan diamalkan.

Tidak setakat petua. Orang lama juga kaya dengan pengalaman hasil pemerhatian. Maka selalulah kita dengar orang menyebut istilah 'kata orang-orang tua'.

Namun, tidak semua boleh dipercayai. Ada yang terbukti mitos semata-mata. Sebagai umat Islam kita harus memeriksa kesahihah fakta, dan mengetahui hukum agama sebelum menerima bulat-bulat sesuatu kepercayaan atau amalan. 

Sering kita mendengar orang berkata anak dua pusar kepala sebagai nakal dan lasak. Entah di mana logiknya,  tetapi itulah yang kerap dimomokkan orang. Apabila ternampak kepala anakku berpusar dua, orang tua-tua terus mengingatkan supaya bersiap sedia dengan karenah anakku itu. Ada yang menyebutnya membesar banyak akal, ada yang melabelnya budak lasak tidak kurang juga yang berani melabelnya budak nakal.

Sebagai ibu baru, hati tentu tersentuh apatah lagi anak masih merah. Tetapi aku selalu memujuk hati mengambil yang positif saja. Dan membiarkan kata-kata orang berlalu seperti angin.

Apabila anakku semakin membesar,  aku sedari karakter dirinya yang ekstrovert dan aktif. Dia mudah mengekspresikan emosinya.  Dia suka menyanyi dan mempunyai keyakinan diri yang baik untuk kanak-kanak seusia empat tahun.

Tetapi memanglah adat kanak-kanak yang banyak ragamnya,  anakku juga tidak terkecuali.  Kadangkala dia menghiburkan tapi ada masanya ragamnya juga menyebabkan kami naik marah. 

Satu hal yang tidak aku persetujui ialah meletakkan kesalahan kepadanya mengikut tanggapan ciri fizikal dua pusarnya itu. Apabila dia berbuat silap kita segera memarahinya. Jika terlibat dalam perbalahan anak-anak,  cepat saja kita menuding jari kepada si dua pusar tadi. Terkadang tidak sempat dia membela diri,  dan belumpun kita selidik duduk letak perkara sebenar. Kita pantas menjustifikasikan situasi dan meletaknya sebagai pesalah.

Aku melihat perkembangan ini sebagai tidak sihat untuk pembinaannya sebagai individu yang bersahsiah mulia.

Adakah berkepala dua pusar semestinya nakal? Wallahualam. 

Pernahkah kita terfikir dua pusar ini ciri fizikal, sama juga seperti lesung pipit dan tahi lalat?

Apakah amalan menilik rahsia tahi lalat tidak sama dengan menilik rahsia ciri fizikal tubuh badan yang lainnya. Kening bertangkup, begini. Mata ke dalam begitu?

Adalah amalan ini tidak sama dengan memukul rata peribadi  individu melalui zahirnya saja? Lebih sedih jika kita mengaitkan dengan mitos tahayul yang bertentangan dengan ajaran Islam. 

Generalisasi dan tanggapan terjadap ciri fizikal begini telah menanamkan stigma di dalam kepala individu di sekeliling anak tadi. Ibubapa misalnya terdorong memberi layanan tegas dan keras kepada anak ini semata-mata tidak mahunya menjadi nakal. Setiap langkah karenah anak sentiasa dibayangi dia dua pusar,  maka akalnya banyak. Dia dua pusar,  maka dia lasak. Ibu bapa secara tidak langsung telah meletakkan label kepada anaknya. Adakah adil memandang sikap indvidu berdasarkan ciri fizikalnya? Nah, tidakkah ia juga terpakai dalam situasi ini?

Ada waktunya apabila timbul rasa marah terhadap si anak,  aku mengingat diri, dia sama saja seperti anak lain. Akhlak dan adabnya dibentuk oleh aku dan suami. Sikap dan pembawaan karakternya terbentuk oleh persekitarannya membesar. 

Generalisasi dan kata orang tua-tua tidak membantu perkembangan anak-anak.  Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab kita mendidiknya menjadi anak yang baik seperti diidamkan oleh semua. Semoga kita diberikan kesabaran melayani dan mengasuh anak - anak.

 




Saturday, 20 May 2017

Kegagalan hanyalah proses.

Rasa sedih juga ketinggalan entri.  Di dalam kepala banyak idea tetapi sesampai saja di blog,  tidak lancar.

Terasa sukar hendak dihabiskan.

Hidup berjalan seperti biasa dan terpenuh dengan rutin. Suami sibuk menyiapkan konten pembentangan business model canvas untuk program CEO desa. Aku sempat menyumbang sedikit input dan membantu dalam latihan pembentangan.

Ohya, mereka mempersembahkan idea aplikasi mobile untuk percetakan dan fotokopi.

Dan semalam sesi pitching di Raub. Aku tidak ikut serta. Cukuplah menghantar dengan doa. Dari tempat acara suami mengirimkan update. Antara juri yang turut mengadili acara ialah pengarah Erma Fatima dan pegawai-pegawai kementerian terbabit.

Alhamdulillah semua berjalan lancar. Dan suami serta team gagal dalam sesi pitching itu. Sedih?

Tidaklah. Pada aku mereka pergi demi mengaut pengalaman dan boleh jadi produk yang mereka persembahkan belum cukup kuat untuk menyakinkan juri. Mungkin juga tidak bertepatan dengan kehendak program.

Setiap kita akan melalui pengalaman pertama. Dan dalam perjalanan mencari kejayaan kita akan bertemu halangan. Semua ini sangat berharga untuk kita jadikan panduan melakukan yang lebih baik.

Seperti aku,  walaupun hanya terperap di rumah melayan karenah anak-anak,  ya aku jua tidak harus berhenti belajar dan mencuba. 

Misalnya hari ini aku cuba buat biskut coklat cip ala-ala Subway. Ia sepatutnya bersaiz besar leper dan chewy. Tapi nampaknya percubaan belum menjadi dengan jayanya. Biskutku gemuk membukit dan keras pula.

InsyaAllah aku akan cuba lagi di masa depan. Setiap kesilapan peluang untuk menjadi lebih baik.

Sampai di sini dulu.  Jumpa lagi.